• logo-rasmi

    Jabatan Landskap Negara

    Kementerian Wilayah Persekutuan

    +603-4047 0000 | +603-4045 2415 | kpjln.kpkt@1govuc.gov.my

Objektif eLandskap

1.1 Objektif Umum Modul eLANDSKAP

  1. Menjadikan Sistem Pengurusan Maklumat Landskap yang dapat membawa kepada penyediaan sebuah pusat maklumat dan data landskap seluruh Negara yang komprehensif serta dapat dicapai secara web based.
  2. Menyediakan khidmat penyelenggaraan dan kemaskini semasa maklumat landskap di dalam system supaya teknologi yang digunakan merupakan teknologi semasa.
  3. Memperbaiki dan menyelenggara Sistem eLandskap agar data-data yang dipaparkan merupakan data-data yang terkini.
  4. Pemudah cara bagi penggguna sistem di dalam membuat penilaian, analisis, unjuran serta kajian mengenai pelbagai aspek pelandskapan di seluruh negara; dan
  5. Menyediakan satu saluran interaktif kepada pengguna bagi mencapai maklumat landskap dengan menggunakan teknologi terkini

 

1.2 Objektif/Fungsi eLandskap mengikut modul:

1.2.1 Modul Pelan Induk Landskap (ePIL)

Perancangan pembangunan sesuatu projek landskap perlu dibuat secara terperinci dan menyeluruh. Dengan berasaskan maklumat Pelan Induk Landskap di seluruh negara dan sokongan pelan-pelan digital serta maklumat GIS, perancangan masa hadapan pembangunan landskap dan taman dapat dibuat dengan lebih efisyen, efektif, cepat dan tepat. Bagi merangka perancangan pembangunan projek-projek landskap untuk masa depan, modul ini dapat mengumpulkan dan menjana maklumat-maklumat daripada kesemua modul di dalam sistem eLandscape yang diintegrasikan secara pintar. Dengan adanya interaksi dengan modul-modul di dalam Sistem eLandscape ini maka projek-projek landskap untuk masa depan akan dapat dilaksanakan dengan lebih terancang dan tuntas. Antara kandungan modul yang terpenting di dalam modul ini ialah Pelan Induk Landskap, Perancangan & Pembangunan Data / Maklumat Projek, Ciri-ciri Lokasi & Maklumat GIS, Perancangan Pembangunan Taman Awam, Perancangan Pembangunan Taman Rekreasi, Perancangan Pembangunan Taman Persekutuan, Perancangan Pembangunan Landskap, Perancangan Pembangunan Penyelidikan Landskap, Perancangan Pembangunan Pemuliharaan, Perancangan Pembangunan Pemulihan Landskap,  Perancangan Pembangunan Landskap Institusi-institusi dan Kajian Perancangan Pembangunan Landskap. Jawatankuasa Kerja Sistem eMAPS yang akan menentukan perincian spesifikasi bagi modul ini terdiri daripada Arkitek Landskap, Pegawai Perancang, Pakar GIS, Juruukur Tanah, Pegawai Teknologi Maklumat, Programer dan lain-lain profesion yang berkaitan.

 

1.2.2 Modul Pengurusan Projek Landskap (eLAPS)

Pengurusan projek landskap di JLN merupakan antara nadi terpenting bagi menentukan tahap pencapaian jabatan. Pengurusan projek yang berkesan akan dapat menjamin sesuatu progres projek berjalan dengan lancar. Dalam usaha memperkasakan pengurusan projek di JLN, modul ini dianggap antara modul terpenting yang akan bertindak sebagai mekanisma pemudah cara bagi urusan pemantauan dan penyelarasan bagi sesuatu proses di dalam aspek pengurusan projek. Maklumat terperinci semua projek yang telah, sedang dan akan dibangunkan oleh JLN atau lain-lain agensi pelaksana akan didaftarkan melalui modul ini. Pihak pengurus projek dari JLN dan lain-lain agensi pelaksana akan memasukkan maklumat terperinci pengurusan setiap projek secara intranet atau internet pada bila-bila masa dan di mana sahaja bermula daripada peringkat perancangan pembangunan sehinggalah tamat tempoh penyelenggaraan projek. Pihak pengurus projek JLN akan dapat mengetahui status setiap projek yang dibangunkan di seluruh negara dan sekiranya ada terdapat sebarang isu atau masalah di dalam pengurusan projek tersebut,  tindakan segera dapat diambil. Laporan-laporan projek secara terperinci bagi pelaksanaan projek landskap dapat dijanakan melalui modul ini di setiap peringkat pelaksanaan dan ia akan memudahkan pihak pengurusan projek di dalam menguruskan projek-projek landskap di seluruh negara. Antara submodul bagi eLAPS ini ialah Perancangan Projek, Penilaian Tapak Projek, Reka bentuk, Perolehan, Pembinaan dan Penyelenggaraan. Jawatankuasa Kerja Sistem eProjek yang akan menentukan perincian spesifikasi bagi modul ini terdiri daripada Arkitek Landskap, Juruukur Bahan, Pakar GIS, Jurutera, Juruukur Tanah, Pegawai Teknologi Maklumat, Programer, Pengurus Taman dan lain-lain profesion yang berkaitan.

 

1.2.3 Modul Pengurusan Taman & Landskap (ePALM)

Modul ini merupakan satu modul pengurusan semua jenis taman dan landskap yang telah, sedang dan akan dibina oleh pihak JLN atau lain-lain agensi pelaksana.  Bagi sebarang taman atau landskap yang telah dibangunkan, adalah perlu mempunyai satu sistem pengurusan taman yang komprehensif bagi memastikan kelestarian pembinaan taman atau landskap tersebut. Salah satu faktor kegagalan pihak-pihak tertentu di dalam menjalankan aktiviti pengurusan taman atau landskap adalah kerana tiada satu sistem yang efektif yang dapat menjana maklumat terutama aspek yang melibatkan kos dan tenaga kerja yang berkemahiran. Melalui modul ini, sistem eLandscape yang akan dibangunkan dapat membuat perkiaraan dan unjuran yang melibatkan pelbagai aspek pengurusan sesuatu taman.  Secara tidak langsung, analisa serta penilaian terhadap keberkesanan pengurusan taman dapat dijalankan dan hasil analisis tersebut boleh digunapakai bagi perancangan pembangunan taman atau landskap yang akan datang. Terdapat 9 sub modul penting di dalam sub-sistem ini iaitu Senarai Projek, Laporan Pengurusan, Pentadbiran, Polisi Taman, Pelawat & Pengguna, Penyelenggaraan Taman, Pemuliharaan Landskap, Program & Aktiviti Taman dan Inventori & Perancangan. Jawatankuasa Kerja Sistem ePALM yang akan menentukan perincian spesisfikasi bagi modul ini terdiri daripada Arkitek Landskap, Pengurus Taman, Pegawai Pertanian, Pegawai Teknologi Maklumat, Programer dan lain-lain profesion yang berkaitan.

 

1.2.4 Modul Pengurusan Maklumat Pokok (eTIM)

Modul ini merupakan modul tambahan kepada sistem sedia ada di JLN iaitu Sistem Inventori Perintah Pemeliharaan Pokok (SIP3) dan sistem ini hanya tertumpu pada maklumat pokok di bawah Perintah Pemeliharaan Pokok (PPP) sahaja. JLN juga telak mengambil satu inisiatif lain untuk mempunyai satu sistem yang serupa dengan SIP3 bagi memantau lain-lain pokok yang masih tidak dikategorikan sebagai PPP terutamanya pokok-pokok yang baru ditanam melalui Kempen Tanam Pokok atau projek-projek landskap. Semua attribute dan maklumat mengenai pokok teduhan utama melalui PPP dan lain-lain pokok yang ditanam oleh JLN serta lain-lain agensi pelaksana melalui kempen atau projek akan diambil kira sebagai Data Tumbuhan yang akan disimpan di dalam suatu Pangkalan Data yang khusus untuk digunakan oleh modul-modul lain di dalam sistem eLandscape. Melalui modul ini juga pemantauan dan penyelenggaraan terhadap pokok-pokok tersebut akan dapat dilaksanakan dengan lebih mudah dan berkesan yang mana ia akan menjadi tool uatam dalam melaksanakan pengurusan aset hidup (tumbuhan). Antara sub modul yang terdapat di dalam eTIS ini ialah Maklumat Pokok, Kriteria PPP, Penilaian, Pemetaan & Inventori, Pokok Baru dan Pemantauan Penyelenggaraan. Jawatankuasa Kerja Sistem eTIM yang akan menentukan perincian spesifikasi bagi modul ini terdiri daripada Arkitek Landskap, Arboris, Pegawai Perhutanan, Pakar GIS, Pegawai Teknologi Maklumat, Programer dan lain-lain profesion yang berkaitan.

 

1.2.5 Modul Pengurusan Maklumat Industri Landskap (eLIND)

Pembangunan modul ini memberi penekanan terhadap pembangunan industri landskap di seluruh negara termasuk luar negara. Maklumat promosi landskap dan JLN khususnya di seluruh negara akan didaftarkan di dalam modul ini. Maklumat mengenai pihak-pihak berkepentingan (stakeholders) yang terlibat secara langsung dengan industri landskap juga akan didaftarkan di dalam modul. Modul ini juga menjadi salah satu alternatif untuk memberi perkhidmatan promosi ata hebahan kepada penggiat industri landskap membuat sebarang promosi terhadap produk landskap yang dihasilkan. Terdapat 9 sub modul bagi eLID ini seperti maklumat Kontraktor Landskap, Perunding landskap, Pembekal Landskap, Agensi Pelaksana Landskap, Pertubuhan Antarabangsa, NGO & Badan Iktisas Landskap, Institusi Pendidikan Landskap, Pengurusan Perubahan dalam Industri Landskap dan Promosi. Jawatankuasa Kerja Sistem eLIND yang akan menentukan perincian spesifikasi bagi modul ini terdiri daripada Arkitek Landskap, Pengurus Acara, Kontraktor, Perunding, Pembekal, Pegawai Teknologi Maklumat, Programer dan lain-lain profesion yang berkaitan.

 

1.2.6 Modul Pengurusan Maklumat R&D Landskap (eREAD)

Semua hasil R&D dan aktiviti-aktiviti pemulihan, pemuliharaan serta pemenliharaan landskap yang telah, sedang dan akan dilaksanakan oleh JLN akan didaftarkan di dalam modul ini. Maklumat-maklumat tersebut yang dilaksanakan atau yang diperolehi dari luar negara juga akan didaftarkan melalui modul ini agar pihak pengurusan dan pengguna mengetahui perkembangan semasa R&D landskap negara supaya pencapaian R&D landskap negara kita seiring dengan pencapaian R&D landskap negara maju. Di samping itu juga, kesemua kertas kerja, kertas cadangan, maklumat atau rumusan yang telah dibentangkan di dalam seminar-seminar, kempen-kempen, dialog-dialog  landskap yang dianjurkan dalam mahupun luar negara akan didaftarkan melalui modul ini. Dengan maklumat tersebut perancangan pembangunan landskap dan taman akan dapat diselaraskan dengan lebih menyeluruh di samping ia akan menjadi media utama bagi para pengkaji landskap tempatan dan juga mahasiswa di institusi pengajian tempatan. Melalui modul ini juga kredibiliti JLN sebagai peneraju industri landskap negara juga akan dapat ditingkatkan dengan adanya pelbagai hasil penemuan terbaru di dalam bidang landskap. Sub Modul bagi eRAED ini ialah Pengurusan R&D Landskap, Program R&D Landskap, R&D bagi Pemuliharaan & Pemeliharaan Landskap, R&D bagi Pemulihan Landskap, Hasil & Aktiviti R&D Landskap, Penerbitan R&D Landskap dan Dokumentasi & Rujukan R&D Landskap. Jawatankuasa Kerja Sistem eREAD yang akan menentukan perincian spesifikasi bagi modul ini terdiri daripada Arkitek Landskap, Pegawai Penyelidikan, Jurutera, Arborist, Pakar Hortikultur, Pegawai Perhutanan, Pegawai Pertanian, Pegawai Teknologi Maklumat, Programer dan lain-lain profesion yang berkaitan.

 

1.2.7 Modul Maklumat Polisi Landskap (ePOL)

Sebarang dasar, akta, polisi dan garis panduan yang terlibat secara langsung atau tidak dengan pengurusan serta pembangunan landskap di Negara akan didaftar di dalam Pangkalan Data eLandscape secara textual dan spatial. Hanya dasar, akta dan polisi yang digubal oleh JLN dan telah diluluskan oleh jemaah menteri atau KPKT sahaja akan didaftar melalui modul ini untuk rujukan semua pihak. Di samping itu juga segala dasar akta dan polisi yang berkaitan dengan landskap yang digubal oleh lain-lain agensi juga akan didaftarkan di dalam modul ini. Melalui modul ini, pihak JLN akan dapat menganalisa sebarang perancangan pembangunan landskap yang akan dilaksanakan akan memenuhi syarat-syarat yang terdapat di dalam dasar, akta, polisi atau garis panduan dengan adanya pengintegrasian secara pintar kapada lain-lain modul di dalam eLandscape. Selain daripada itu, analisa keberkesanan dasar, akta, polisi atau garis panduan landskap juga dapat dilaksanakan melalui modul ini dan hasil dari penganalisisan tersebut, sesuatu akta, garis panduan  dan polisi yang baru atau dapat digubal dan dikemaskini mengikut senario semasa. Pecahan kepada submodul ini adalah Dasar Landskap, Akta Landskap, Garis Panduan Landskap, Peraturan Taman & Landskap, Polisi Berkaitan Dengan Landskap dan Analisis Keberkesanan Polisi. Jawatankuasa Kerja Sistem ePolicy yang akan menentukan perincian spesifikasi bagi modul ini terdiri daripada Arkitek Landskap, Pegawai Perancang, Pegawai Perundangan, Pegawai Teknologi Maklumat, Programer dan lain-lain profesion yang berkaitan.

 

1.2.8 Modul Pengurusan Maklumat Komponen Landskap (eLAC)

Di dalam pembangunan sesuatu taman dan landskap, pengurusan komponen landskap merupakan aspek yang terpenting kerana kelestarian persekitaran sesuatu kawasan adalah bergantung kepada fungsi dan kesesuaian komponen landskap yang digunakan. Dengan adanya modul eLAC ini, kemudahcapaian maklumat mengenai landskap lembut dan landskap kejur akan dapat diwujudkan. Rujukan komponen landskap lebih mudah dibuat dengan adanya pangkalan data mengenai maklumat landskap lembut dan landskap kejur yang diklasifikasikan mengikut pelbagai aspek yang berinteraksi secara pintar dengan modul-modul eLAD, secara tidak langsung konsep serta susun atur komponen landskap dan taman yang akan dibangunkan akan lebih bertepatan dan serasi. Antara sub modul yang terkandung di dalam eLAC ini ialah Komponen Landskap, Kategori Landskap Lembut, Kategori Landskap Kejur, Perincian, Spesifikasi dan Penyelenggaraan. Jawatankuasa Kerja Sistem eLAC yang akan menentukan perincian spesifikasi bagi modul ini terdiri daripada Arkitek Landskap, Arboris, Pegawai Perhutanan, Pegawai Pertanian, Jurutera, Pembekal, Pegawai Teknologi Maklumat, Programer dan lain-lain profesion yang berkaitan.

 

1.2.9 Modul Pengurusan Maklumat Rekabentuk Landskap (eLAD)

Dengan adanya komponen landskap dalam sesuatu pembangunan landskap, urusan dalam melaras keperluan komponen landskap itu adalah melalui tugasan merancang dan merekabentuk. Modul ini diwujudkan bagi membuat penyelarasan terhadap penggunaan komponen landskap agar bertepatan dengan konsep pembangunan landskap di sesuatu kawasan. Modul ini akan menyimpan kesemua pendekatan rekabentuk landskap mengikut jenis, konsep serta kesesuaian sesuatu kawasan. Adalah menjadi harapan juga agar sistem ini berupaya untuk melaksanakan tugasan merekabentuk secara atas talian yang juga akan menjadi alternatif kepada media interaktif di antara landskap arkitek dan pelanggannya. Antara submodul pembangunan sistem yang telah dikenalpasti ialah Perancangan Landskap, Pembangunan Konsep, Pelan Landskap, Anggaran Kos, Tempoh Pelaksanaan dan Rujukan. Jawatankuasa Kerja Sistem eLAD yang akan menentukan perincian spesifikasi bagi modul ini terdiri daripada Arkitek Landskap, Pegawai Perancang, Arborist, Juruukur Bahan, Jurutera, Pembekal, Kontraktor, Pegawai Teknologi Maklumat, Programer dan lain-lain profesion yang berkaitan.

 

1.2.10 Modul Pengurusan Organisasi (eOffice)

Pemantapan tadbir urus jabatan merupakan usaha yang berterusan di dalam menyediakan sistem penyampaian perkhidmatan yang berkualiti dan berkesan. Modul ini merangkumi keseluruhan aspek pentadbiran dan pengurusan sesuatu organisasi dengan membangunkan sistem aplikasi baru atau mengintegrasikan keperluan maklumat melalui sistem guna sama sedia ada yang telah dibangunkan oleh MoF, JPA, MAMPU atau KPKT. Melalui modul ini, tadbir urus JLN akan lebih bersistematik dan teratur. Antara submodul yang akan dibangunkan di dalam modul ini ialah maklumat organisasi, pengurusan aset, pengurusan fail & dokumen, pengurusan pelanggan, MS ISO, latihan dalaman, keselamatan pejabat, personel & perkhidmatan, PTK, KPI, Maklumat Parlimen dan perpustakaan. Jawatankuasa Kerja Sistem eOffice yang akan menentukan perincian spesifikasi bagi modul ini terdiri daripada Arkitek Landskap, Pegawai Khidmat Pengurusan, Pegawai Kewangan, Pegawai Sumber Manusia, Pegawai Perhubungan Awam, Pegawai Teknologi Maklumat, Programer dan lain-lain profesion yang berkaitan.

 

1.2.11 Modul Laporan Maklumat Landskap (eMAR)

Pihak Pengurusan JLN akan dapat membuat semakan atau pemantauan yang cepat dan tepat dengan adanya laporan-laporan yang dijanakan daripada integrasi pintar modul-modul utama di dalam Sistem e-Landscape ini. Laporan yang dijana oleh sistem akan memaparkan maklumat terperinci dalam bentuk jadual, statistik, gambar rajah atau lain-lain aspek berdasarkan keperluan pengguna. Jawatankuasa Kerja Sistem eReport yang akan menentukan perincian spesifikasi bagi modul ini terdiri daripada Arkitek Landskap, Pegawai Khidmat Pengurusan, Pegawai Teknologi Maklumat, Programer dan lain-lain profesion yang berkaitan. Senarai Laporan yang dapat di janakan adalah seperti berikut:-

Maklumat pengurusan projek landskap dan taman yang telah, sedang dan akan dibangunkan oleh JLN atau lain-lain agensi pelaksana di seluruh Negara.

Maklumat pihak berkepentingan yang terlibat secara langsung atau tidak di dalam bidang landskap.

Maklumat penyelidikan dan pemuliharaan landskap di seluruh negara.

Maklumat pengurusan taman dan landskap di seluruh negara.

Maklumat promosi dan lain-lain pengembangan industri landskap negara.

Maklumat prestasi JLN yang merangkumi KPI, laporan tahunan, RMK, perangkaan dan lain-lain lagi.

Maklumat pengurusan pelanggan JLN yang merangkumi maklumat pelawat, aduan, pertanyaan dan lain-lain.

Maklumat pengurusan organisasi yang melibatkan pelbagai aspek seperti aset projek, perjawatan, kemahiran modal ihsan dan lain-lain.

Maklumat prestasi kewangan yang melibatkan aspek seperti perbelanjaan pengurusan, pembangunan dan lain-lain.

 

1.2.12 Modul Pengurusan Kewangan JLN (FAMES)

Sebagaimana agensi kerajaan yang lain, pengurusan kewangan di JLN juga melibatkan perbelanjaan mengurus dan perbelanjaan  pembangunan. Modul ini dibangunkan adalah untuk memantau serta mentadbir urus kewangan jabatan dengan lebih sistematik. Pengurusan dan pemantauan kewangan didapati kurang memuaskan kerana tiada sistem yang spesifik dibangunkan untuk tujuan ini terutamanya aspek keseragaman penggunaan borang dan sistem penjanaan maklumat pembayaran. Kos keseluruhan serta perbelanjaan untuk semua aktiviti di JLN dapat diketahui secara terperinci dengan adanya modul ini. Maklumat kewangan yang dijana melalui sistem ini juga dapat digunakan secara tepat dan cepat bagi didaftarkan ke sistem guna sama yang sedia ada. Terdapat 3 sub modul yang telah dikenal pasti iaitu Sistem Pembayaran, Bajet & Peruntukan dan Prestasi Kewangan. Jawatankuasa Kerja Sistem eFPD yang akan menentukan perincian spesifikasi bagi modul ini terdiri daripada Arkitek Landskap, Pegawai Kewangan, Pegawai Khidmat Pengurusan, Pegawai Teknologi Maklumat, Programer dan lain-lain profesion yang berkaitan.